Ucapan Ramadan Mubarak (Semoga kamu perolehi keberkatan bulan Ramadan) kepada Pas.

Ramadan Mubarak kepada Hadi Awang, pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pas sekalian! 

Perutusan di awal bulan Ramadan yang mulia ini saya tujukan khususnya kepada kamu sekalian dengan satu teguran penting. 

Ketika kamu sedang melangkah masuk pada hari pertama di bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini, bermuhasabahlah terhadap pendirian kamu yang selama ini telah menyalahi ajaran Islam dan membawa imej yang buruk kepada agama suci ini.

Ketika berita sensasi mengenai sebahagian dari wang 1MDB sebanyak RM2.6 billion masuk ke akaun peribadi Najib seperti yang dilapurkan oleh akhbar Wall Street Journal buat pertama kalinya pada Julai 2015, Almarhum Dr. Haron Din dan Hadi Awang tanpa lengah telah mempertahankann Najib dari tuduhan-tuduhan salah-laku mencuri, rasuah dan pecah amanah. 

Tolong jangan buat-buat tak tahu dan nak cuba kelentong dalam hal ini. Berlambak-lambak bukti tentang ini boleh didapati dari internet dan Youtube. Kesemua pimpinan Pas pun membisu tidak berkata apa-apa. Tiada seorang pun yang mendesak supaya siasatan yang serius dijalankan terhadap Najib. Kalau ada pun ialah Timbalan Presiden kamu - Tuan Ibrahim Tuan Man seorang sahaja. Itu pun bagaikan melepaskan batuk di tangga sahaja.

Kemudian pada bulan Ogos 2017, beberapa pemimpin-pemimpin Pas yang diketuai oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, berserta bekas Menteri Besar Selangor - Khalid Ibrahim, telah diberi taklimat oleh Presiden 1MDB - Arul Kanda, di Hotel de Palma, Ampang, mengenai kedudukan 1MDB. Hasil dari pertemuan itu ialah mereka berpuas hati dengan penerangan Arul Kanda. 


Apa punya lawak pemimpin-pemimpin yang kononnya memperjuangkan Islam ini? Semua percaya kepada silap mata Arul Kanda dan kena kelentong secara percuma sahaja dengan dia. Yang paling saya tak sangka sekali kena kelentong ialah Khalid Ibrahim yang kononnya hebat sangat ketokohan koperatnya! Macam mana dia boleh kena kelentong benar-benar satu hal yang sangat pelik bagi saya.

Hari ini, selepas Lapuran Audit 1MDB dibebaskan dari sekatan Akta Rahsia untuk tuntunan umum dan Najib pula kini sedang nyawa-nyawa ikan menunggu ditangkap polis untuk dihumban ke dalam penjara, apa komen kamu semua sekarang?

Bagi saya, pendirian kamu semua benar-benar memalukan Islam. Apa jenis Islam yang kamu cuba bawa dan ajar umat Islam amalkan? Sikap kamu yang tidak mahu percaya bahawa suatu kemungkaran besar telah dilakukan oleh Najib walaupun segala bukti-bukti jelas yang dikeluarkan oleh beberapa negara yang menyiasat kes ini, benar-benar satu keajaiban. 

Kamu langsung tidak endahkan semua berita-berita yang diterima dari beberapa negara luar yang terlibat dengan usaha penyucian wang haram 1MDB oleh Najib dan Jho Low berserta bukti kukuh yang mereka perolehi tentang rompakan berskala mega ini. Malah Singapura sudah memenjarakan beberapa orang yang didapati terlibat dengan skandal 1MDB ini sementara Switzerland pula telah menutup dan menyaman beberapa bank di negara mereka. Ini pun kamu buat-buat buta saja. 

Tidak perlulah saya bercerita pasal lapuran menyeluruh dari Department of Justice (DoJ) Amerika Syarikat tentang skandal ini. Nanti kamu kata itu semua mainan Yahudi belaka yang hendak menjahanamkan Malaysia.

Dan kamu sedikitkan tidak menyoal tindakan-tindakan pelik Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah SPRM yang terang-terang berat sebelah dan tidak adil. Padahal kamu sibuk berkokok membaca ayat Quran berikut ketika berceramah ke sana ke mari :

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu." [An-Nisaa’ (4) :135]

Pendirian kamu saling tidak tumpah seperti pemimpin-pemimpin Umno yang bermati-matian pertahankan kemungkaran Najib. Seluruh Malaysia boleh nampak sikap kamu ini. Yang tak nampak ialah hanya orang buta atau yang sudah kena suap dengan dedak sahaja.

Kalau sayalah Perdana Menteri Malaysia sekarang, saya akan haramkan kamu dari menggunakan perkataan “Islam” pada nama parti kamu kerana perbuatan-perbuatan kamu amat memalukan Islam. Cakap yang tidak tidak serupa bikin, dan bikin yang tidak serupa cakap. Sikap pemimpin-pemimpin beginikah yang boleh rakyat harapkan untuk tadbir dan urus negara dengan baik? 

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan?  Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu berkata tentang sesuatu yang tidak kamu lakukan.” [As-Saff (61) : 2-3] 

Kalau kamu yakin berada dipihak yang benar dan konsisten dengan pendirian kamu, inilah masanya kamu tampil kehadapan untuk membela dan pertahankan Najib. Tapi saya yakin kamu akan senyap dan menikus. 

Paling tidak pun kalau kamu sedar sudah tersalah langkah, sepatutnya kamu minta maaf kepada rakyat atas kesilapan perhitungan kamu sebelum ini. Ini lebih Islamik dari berpura-pura buat tidak tahu sahaja. 

Tetapi saya yakin kamu tidak akan berbuat apa-apa kerana yang yang lebih penting untuk dipertahankan ialah ego dan keangkuhan kamu, dan bukannya imej Islam yang telah kamu cemari.

Saya bukan suka-suka mencari sebab dan peluang untuk menghentam kamu. Itu bukan hobi saya. Saya ada banyak kerja lain yang perlu dibuat. Tetapi saya menulis rencana ini kerana saya cinta pada Islam dan marah melihat bagaimana kamu memutar belitkan agama suci ini untuk tujuan politik sempit kamu. Islam yang indah kamu conteng menjadi hodoh, dan disebabkan ini saya ambil keputusan untuk tegur kamu secara terbuka. 

Nasib baik saya seorang Muslim yang faham agama. Kalau saya rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, saya langsung tidak akan berminat kepada Islam disebabkan oleh tindak tanduk kamu membuat Islam kelihatan seperti satu agama kartun yang tidak praktikal untuk dianuti kerana ia bercangggah dengan nilai-nilai kemanusian yang bersifat universal. Sudah-sudahlah bersandiwara dengan umat Islam dan rakyat sekalian.

Ambillah peluang untuk bermuhasabah di bulan Ramadan yang mulia dan penuh dengan keberkatan ini. Semoga kamu semua akan dikurniakan hidayah oleh Allah di bulan ini untuk menyedari kesilapan. Dan semoga kamu akan diberi taufiq oleh-Nya untuk memperbetulkan pendirian serta langkah-langkah kamu seterusnya agar imej Islam akan kembali indah dan menerima penghormatan yang selayaknya dari seluruh lapisan masyarakat negara ini yang berbilang kaum dan agama. 

Dan yang paling penting sekali ialah semoga kamu akan dapat memainkan peranan yang betul dan berkesan untuk menjadikan Islam benar-benar cemerlang dan boleh menarik minat seluruh masyarakat untuk mendekatinya .

Allahumma aamiin...

Comments

Popular posts from this blog

Ramadan Mubarak 2018 (Siri ke-6) : Amaran keras dari Allah dan RasulNya supaya jangan cenderung kepada orang zalim yang akan muflis di akhirat nanti.

Persamaan sebahagian besar umat Islam dengan penganut agama Kristian

Penghina Agama