Persamaan sebahagian besar umat Islam dengan penganut agama Kristian
Masalah para penganut agama Nasrani atau Kristian ialah mereka tidak mengambil asas kefahaman ajaran agama dari Nabi Isa. Sebaliknya, mereka beri keutamaan dan mengambil agama dari para wali dan paderi2 yang percaya kepada ajaran para wali ini lebih dari ajaran asal yang dibawa oleh Nabi Isa. Saint atau tulisan ringkasnya “St.” bermaksud wali atau orang suci.
Hampir semua orang Nasrani atau Kristian tahu bahawa agama yang mereka anuti sejak dari dulu hingga ke hari ini ialah sebenarnya hasil ciptaan Saint Paul yang telah memutar-belit ajaran asal Nabi Isa. Ini bukan satu rahsia. Ia satu fakta yang diketahui umum sejak zaman berzaman.
Hakikatnya ialah Nabi Isa tidak pernah mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Beliau juga tidak pernah kata bahawa ada 3 Tuhan dalam Satu dan menamakan ini sebagai Doktrin Triniti. Selanjutnya, Nabi Isa tidak pernah ajar bahawa semua manusia dilahirkan dalam keadaan berdosa akibat mewarisi dosa Nabi Adam yang dikeluarkan dari syurga kerana menentang perintah Tuhan. Dan Nabi Isa juga tidak pernah ajar bahawa satu2nya cara bagi manusia menebus dosa warisan ini dan segala dosa2 lain yang dilakukan semasa hidup supaya diterima Tuhan sebagai orang yang sudah disucikan dan layak masuk ke syurga ialah dengan mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa beliau telah dihantar ke dunia sebagai anak Tuhan untuk disiksa dan dibunuh atas kayu salib. Doktrin kepercayaan karut ini semuanya datang dari St. Paul. Bukan dari Nabi Isa.
Yang betul ialah Nabi Isa telah berkata dengan terang dan jelas bahawa kedatangannya ialah sebagai utusan Tuhan yang khusus kepada kaum Bani Israel sahaja bagi meluruskan kesesatan mereka supaya kembali kepada ajaran sebenar Nabi Musa seperti yang terkandung di dalam kitab Taurat. Nabi Isa bukannya diutus kepada seluruh manusia sejagat dengan satu agama baru hingga kiamat. Sekali lagi, St. Paul lah orang yang bertanggung-jawab memutar-belitkan ajaran Nabi Isa untuk disampaikan kepada orang2 selain Bani Israel, khususnya orang2 Rom pada zaman itu agar mereka menganutinya.
Saya tidak bercadang untuk bercerita dengan panjang lebar mengenai sejarah agama Kristian dan bagaimana Maharaja Constantine menganut agama baru ini sekitar tahun 330 Masehi dan menjadikan ia sebagai agama rasmi empayar Rom. Dan saya juga tidak mahu sentuh tentang kisah institusi gereja yang korup dan bagaimana mereka memainkan peranan sebagai penyokong utama kepada Maharaja2 Rom yang telah rakus menakluk dan menawan negara2 lain dengan brutal dan zalim atas nama Nabi Isa. Dan atas dasar yang sama ini jugalah negara2 Eropah dengan sokongan intistusi gereja telah keluar kemudian untuk menakluk dunia dengan gelojoh, khususnya ke atas benua Asia dan Afrika. Padahal pengggunaan nama Nabi Isa dalam tindakan zalim mereka menindas negara2 dan bangsa2 yang lain tidak lain hanyalah alasan kosong yang sebenarnya bermatlamat untuk memenuhi kepentingan ekonomi mereka semata-mata.
Apa yang ingin saya bincangkan di sini ialah mengenai persamaan sikap sebahagian besar umat Islam dengan penganut2 agama Kristian yang membuat umat Islam menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar dan menempah kemurkaan Allah.
Allah utus Nabi Muhammad (saw) kira-kira 600 tahun selepas kedatangan Nabi Isa sebagai RasulNya yang terakhir untuk seluruh manusia dan juga sebagai rahmat bagi sekalian alam. Kedatangan Nabi Muhammad (saw) bersama kitab Al-Qur’an yang diwahyukan kepadanya untuk disampaikan kepada manusia ialah bagi memperbetulkan segala kacau bilau yang melanda manusia dalam urusan agama dan dunia hinggalah hari Kiamat.
Maka disebabkan inilah Allah berpesan dengan tegas kepada manusia dalam kitab suciNya supaya ambil RasulNya sebagai contoh ikutan dan tauladan. Bagindalah yang sepatutnya menjadi rujukan utama manusia dalam segala aspek. Bukannya para wali atau ulama.
Pandangan2 para ulama dan semua agamawan yang datang dan pergi sejak selepas zaman Nabi Muhammad (saw) dan para sahabatnya hanya boleh diambil jika ia selari dan tepat dengan amalan serta sunnah Nabi (saw) dan para sahabatnya. Jika pandangan2 mereka tidak selari dengan sunnah Nabi (saw), maka kita tidak sepatutnya menerimanya.
Kita wajib sedar dan tahu bahawa semua manusia selain dari Nabi (saw) tidak menerima wahyu dari Allah. Maka, tidak ada sesiapa yang maksum selain baginda. Oleh itu, kesetiaan atau wala’ kita sepatutnya diberi hanya kepada Nabi (saw) seorang saja dan bukan kepada sesiapa selainnya. Umat Islam akan lebih selamat jika kita berbegang teguh kepada disiplin ini bukannya secara teori sahaja tetapi secara praktik juga.
Malangnya, sama seperti penganut2 agama Kristian yang jadi terpesong apabila mereka melebihkan ajaran2 sesat para wali mereka dan paderi2 gereja dari ajaran Nabi Isa yang sebenar, begitulah juga sikap dan perangai umat Islam hari ini yang merosakkan agama kerana terlalu taksub dengan orang2 yang mereka anggap sebagai wali Allah dan juga para agamawan yang merapu menyebarkan berbagai-bagai kefahaman yang menyimpang dari ajaran asal dan amalan Nabi (saw) dan para sahabatnya.
Dengan ertikata lain, sebagaimana penganut2 agama Kristian jadi sesat kerana enggan mengambil agama dari Nabi Isa, begitulah dengan sebahagian besar umat Islam yang melakukan perbuatan yang sama apabila mereka tidak mengambil agama dari Nabi (saw) dan para sahabat. Malang sekali apabila umat Islam membuat pilihan untuk beri keutamaan kepada apa yang diajar dan diperkenalkan oleh orang2 yang datang selepas zaman Nabi (saw), para sahabat dan tabi’in yang muncul dari perkembangan empayar Islam yang semakin meluas. Agama yang sepatutnya tulin telah dicemari dengan berbagai-bagai fahaman dan amalan tokok tambah yang telah diperkenalkan oleh mereka dan menjadi ikutan ramai.
Adalah lebih selamat jika umat Islam hanya mengamalkan Islam mengikut sunnah Nabi (saw) dan tinggalkan segala yang tidak diamalkan oleh baginda dan para sahabatnya yang sepatutnya menjadi kayu ukuran kita. Bukankah Allah telah menggelar mereka sebagai sebaik-baiknya manusia dan umat yang pernah berjalan di atas mukabumi ini? Mengapa kita tidak ambil mereka sebagai role model kita dalam serba serbi hal tetapi sebaliknya mengambil orang2 yang datang selepas mereka dengan memperkenalkan berbagai-bagai konsep, pandangan dan ajaran pelik untuk diikuti?
Tidak ada sesiapa selain dari Nabi Muhammad (saw) yang tahu bagaimana untuk mengamalkan dan mempraktikkan Islam sesuai dengan apa yang Allah sukai. Jika kita pegang kepada disiplin ini dengan kemas, saya yakin Islam akan jadi aman untuk dipraktikkan dan tidak membingungkan. Dan insyaa Allah umat Islam boleh bersatu dengan kukuh kalau kita betul2 ambil Nabi Muhammad (saw) dan para sahabatnya sebagai panduan hidup kita. Jangan ikut perangai dan sikap penganut agama Kristian yang kata mereka cinta kepada Nabi Isa (saw) tetapi pada masa yang sama tidak ikut ajaran beliau dan sebaliknya beri keutamaan kepada ajaran para wali dan paderi mereka.
Setiap hari, kita baca surah al-Fatihah paling minima sebanyak 17 kali dalam solat kita yang 5 waktu itu dan memohon kepada Allah supaya tunjuki kita jalan yang benar, dan bukannya jalan orang2 yang Dia murkai dan jalan orang2 yang sesat. Anehnya, kita tidak mahu pula amalkan agama Allah yang suci ini dengan mengikuti jalan yang ditunjuki oleh Nabi utusan Allah kepada kita yang terbentang dengan luas di hadapan kita.
Kita tidak perlu banyak songeh dalam hal ini. Tinggalkan saja segala amalan yang tidak bersumber dengan jelas dari Nabi (saw) dan para sahabatnya. Tidak perlu banyak sangat konsep, teori dan pandangan dalam hal ini. Cuba buat sebaik mungkin apa yang Nabi (saw) dan para sahabatnya lakukan dan tinggalkan saja apa yang mereka tidak lakukan. Ini jalan yang pasti benar dan lebih selamat. Tidak ada amalan dan perbuatan yang lebih benar dan baik dari mengikuti sunnah Nabi (saw).
Mengamalkan Islam itu mudah seperti yang ditunjuki oleh Nabi (saw). Ikut saja sunnahnya dengan rapi dalam urusan ibadah dan isikan masa yang selebihnya untuk bangkit menentang ketidak-adilan dan kezaliman yang membawa kerosakan kepada hidup rakyat dan negara. Inilah sebenarnya yang dituntut oleh agama dan seperi yang ditunjuki oleh Nabi (saw).
Hidup bukan semata-matanya untuk amalkan ibadah dan ritualnya secara berlebih-lebihan, terutamanya jika amalan2 ini semua tidak pernah dilakukan oleh Nabi (saw). Sebaliknya hidup hendaklah diisi dengan melaksanakan amal2 ibadah yang sahih bersumber dari baginda dan pada masa yang sama tegas menentang kezaliman dan ketidak-adilan sosial. Inilah Islam yang diajar dan dipraktikkan oleh Nabi kesayangan kita.
Pelihara hubungan baik dengan Allah dengan melaksanakan dengan tekun dan khusyuk amal2 ibadah yang diajar oleh Nabi (saw). Pada masa yang sama, peliharalah juga hubungan baik sesama manusia dengan sikap saling menghormati serta berusaha bersunggguh-sungguh menegakkan keadilan dan menentang kezaliman yang dibenci oleh Allah. Insyaa Allah di dunia dan akhirat kita akan selamat.
Inilah Islam. Simple and straight-forward.
Allahu a’lam.
Comments
Post a Comment