Ramadan Mubarak 2018 (Siri ke-6) : Amaran keras dari Allah dan RasulNya supaya jangan cenderung kepada orang zalim yang akan muflis di akhirat nanti.

Berpandukan kepada hadis berikut, sesiapa yang memakan harta orang lain secara batil termasuk dalam senarai takrif sebagai orang zalim. Dia akan muflis di akhirat kelak dan tempat kembalinya sangat pedih.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi (saw) telah bersabda:

“Tahukah kamu sekalian siapakah yang disebut sebagai orang yang muflis?”

Para sahabat menjawab : “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.”

Baginda menjawab : “Tidak! Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat kelak dengan pahala solat, puasa dan zakat.

Namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang, menuduh orang (dengan berbagai-bagai dusta), memakan harta orang, menumpahkan darah sesama manusia dan memukul orang (serta berbagai-bagai lagi bentuk penganiayaan ke atas orang lain).

Maka akan diberikan kepada pihak yang teraniaya itu sebahagian daripada pahala-pahala kebaikan orang yang telah menganiayanya hinggalah habis akhirnya pahala orang yang zalim itu, namun masih belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya.

Lalu diambil pula dosa-dosa pihak yang teraniaya itu dan dipindahkan kepada si-penzalim itu hingga (dia sarat dengan dosa orang-orang yang telah dianiayanya semasa hidup dahulu). Akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana menanggung terlalu banyak dosa).”

[Kitab Sahih Muslim, Hadis no : 2581]

Subhanallah!! Sia-sia rupanya segala pahala ibadah kita kalau kita menganiaya dan merampas, mencuri atau makan harta orang lain. Bayangkan jika yang teraniaya itu berjuta-juta orang ramainya..

Bukan sahaja orang yang seperti ini akan muflis dan menghadapi masalah besar untuk selamatkan dirinya di akhirat kelak. Malah sesiapa yang menyokongnya juga diberi amaran keras oleh Allah bahawa dia akan disambar oleh api neraka nanti. Lihat ayat berikut :

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim yang akan menyebabkan kamu disambar oleh api neraka. Dan kamu sekali-kali tidak mempunyai mana-mana penolong selain daripada Allah. Lalu kamu (pasti) tidak akan mendapat apa-apa pertolongan (jika Allah tidak mahu menolong  kamu).”
[Huud (11) : 113]

Demi Allah saya takut. Meremang bulu roma dan kencang nafas saya menulis rencana ini. Saya berdoa kepada Allah dalam bulan yang penuh keberkatan ini agar kita sama-sama tidak melakukan apa-apa, baik di dalam keadaan sengaja atau tidak sengaja, yang akan menyebabkan kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang Nabi dan Allah ancam dengan janji akan dihumban ke dalam neraka nanti. Na uzubillahi min zalik..

Saya pelik fikir bagaimana lebai-lebai yang sampai berbuih-buih mulut mereka bercakap pasal hendak menjadikan Malaysia sebagai negara Islam berpandukan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah hingga sanggup mengkafirkan orang yang tidak menyokong mereka, tidak faham hadis dan ayat Qur’an di atas tadi.

Adakah mereka terlepas pandang pada dalil-dalil ini, atau pun mereka tahu tetapi buat-buat tidak faham maksudnya? Sehingga hari ini mereka masih membisu. 

Di manakah nas dan dalil di dalam agama suci ini yang mereka ambil untuk dijadikan sebagai sandaran bagi mewajarkan kerjasama dan sokongan terhadap pihak yang terang-terang hobi mereka adalah makan duit rakyat siang dan malam? Yang saya tahu dari kajian saya selama ini, orang-orang yang berani putar belit agama seperti ini ialah sami-sami Yahudi sahaja.

Atau adakah mungkin apabila ada beberapa bekas pemimpin negara diheret ke mahkamah dan kena hukum penjara sekejap lagi, barulah mereka yang selama ini menyokong orang-orang jahat itu akan tiba-tiba tersedar kesilapan mereka? Bukankah sudah terlambat pada masa itu nanti? Yang sebelum ini awak sokong dan berkerjasama dengan mereka kenapa?

Apa punya jenis pemimpin Islam yang boleh terlepas pandang pada kemungkaran yang di depan mata dan hanya akan sedar apabila orang jahat itu kena tangkap dan hukum? Kalaulah Nabi dan para sahabat baginda mengambil sikap dan cara politik begini, dah lama dah Islam akan kena cincang lumat-lumat oleh kafir Quraisy dan sekutu-sekutu mereka termasuk puak Yahudi dan golongan munafiq di Madinah dulu.

Saya sensitif betul dalam hal ini kerana ramai orang awam yang tidak faham agama jadi terkeliru dan tersesat disebabkan oleh sikap taqlid buta mereka terhadap tindak tanduk pemimpin-pemimpin yang mereka anggap seolah-olah Nabi yang maksum.

Oleh itu, saya saran supaya lebai-lebai ini buat pengakuan atas kesilapan mereka dan mohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara kita. Lepas tu baru score boleh jadi 0-0 semula untuk sama-sama maju ke hadapan walaupun ideologi politik berbeza.

Hakikatnya ialah kamu sudah benar-benar mengotori kesucian Islam dari pandangan umum. Maka tanggung jawab kamu sekalian sekarang ialah untuk bersihkannya kembali. Dan permohonan maaf yang ikhlas secara terbuka adalah langkah pertama ke arah ini. 

Jangan pulak buat diam dan tak tahu saja. Itu bukan cara yang Islam ajar apabila kesalahan dilakukan membabitkan ramai orang lain yang jadi keliru dan tersalah dalam pertimbangan mereka. Itu politik putar belit agama namanya.

Saya harap orang yang mengucap syahadah dan solat akan peka kepada ancaman Nabi dan Allah seperti dalam hadis dan ayat Qur’an yang saya catit di atas tadi. Berlepas dirilah dari kecenderungan untuk tetap menyokong orang-orang zalim yang bakal muflis dia akhirat nanti. Jangan sampai diri sendiri disambar api neraka kerana degil sesudah diberi peringatan.

Jika anda rasa sukar untuk melakukan ini, mungkin ayat berikut boleh bantu untuk mengambil sikap tegas dan objektif bagi diri sendiri :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui segala-galanya, sedang kamu tidak mengetahui.” 
[Al-Baqarah (2) : 216]

Saya juga ingin nasihatkan sesiapa yang juga sudah termakan harta rakyat agar segera bertaubat dan pulangkanlah balik apa yang telah dicuri sebagai jalan keluar untuk menyelamatkan diri. Hidup dengan duit haram hanya akan membuat tubuh badan jadi bahan jilatan api neraka saja nanti.

Seterusnya, hendaklah kita hindari diri dari amalah rasuah. Tanam perasan jijik terhadap rasuah yang melebihi rasa jijik pada babi. Ajar anak-anak dan ahli keluarga supaya benci rasuah kerana ia bagaikan penyakit barah tahap 4 yang akan merosakkan masyarakat dan menjahanamkan negara dengan pantas. Pegang hadis berikut kemas-kemas :

Dari Abdullah bin 'Amr, beliau berkata bahawa : “Rasulullah (saw) melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah.”
[Kitab Jami` at-Tirmidhi, Hadis no. 1337]

Laknat Nabi seiring dengan laknat Allah. Peluang untuk selamat di akhirat terlalu tipis jika di dunia sudah termasuk dalam golongan orang-orang yang dilaknat oleh Nabi.

Bersyukurlah bagi sesiapa yang tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang terlaknat ini dan juga dalam senarai orang-orang yang tidak akan muflis di akhirat kelak. Istiqamahlah dengan kebaikan ini.


Ramadan Mubarak..

Comments

Popular posts from this blog

Persamaan sebahagian besar umat Islam dengan penganut agama Kristian

Penghina Agama