Ucapan Ramadan Mubarak (Semoga kamu perolehi keberkatan bulan Ramadan) kepada Umno.

Ramadan Mubarak wahai ahli-ahli dan penyokong-penyokong Umno sekalian!

Perutusan di awal bulan Ramadan yang mulia ini saya tujukan khususnya kepada kamu sekalian dengan satu nasihat penting.

Ketika kamu sedang melangkah masuk pada hari pertama di bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini, bermuhasabahlah terhadap pendirian kamu yang selama ini telah menyalahi Islam.

Adakah ada di kalangan kamu yang masih percaya dengan penuh keyakinan bahawa Najib Razak bukan seorang pencuri dan penipu berskala mega hanya kerana dia masih belum ditangkap polis dan belum didakwa di mahkamah secara rasmi lagi pada saat-saat dia yang sedang “nazak” sekarang?

Sepanjang tempoh 3 tahun sejak berita sensasi mengenai sebahagian dari wang 1MDB sebanyak RM2.6 billion masuk ke akaun peribadi Najib seperti yang dilapurkan oleh akhbar Wall Street Journal buat pertama kalinya pada Julai 2015, dan seterusnya apabila seluruh dunia tidak henti-henti disajikan dengan berbagai-bagai kisah dan bukti mengenai berbelas-belas billion USD lagi yang telah dicuri oleh Najib dan sekutunya Jho Low, takkanlah kamu sedikit pun tidak percaya bahawa Najib bersalah? Takkanlah gelap sangat hati kamu hingga tidak nampak kemungkaran besar ini?

Bukti apa lagi yang kamu tunggu untuk percaya bahawa Najib adalah seorang pencuri besar yang telah menganiayai rakyat dan menyebabkan kemudharatan serius kepada negara?

Tidakkah kamu sedar bahawa kamu berperangai seperti orang atheis yang mahu lihat Tuhan dengan mata kepala sendiri terlebih dahulu untuk yakin bahawa Tuhan itu benar-benar ujud? Atau mahu melihat Iblis dihumban ke dalam neraka terlebih dahulu untuk yakin bahawa Iblis dan Syaitan itu benar-benar ujud?

Ketahuilah bahawa sokongan yang kamu beri kepada Najib selama inilah yang merupakan dosa sebenar kamu dan Umno kepada rakyat, disamping segala permainan rasuah berskala mega dan sikap angkuh serta kurang ajar kamu semua terhadap kami.

Kalau bukan kerana sekarang sudah masuk bulan Ramadan, memang teruk saya maki hamun kamu semua sebab saya lihat di berita-berita media sosial bahawa ramai dari kalangan kamu yang masih tidak sedar diri lagi. Bagaimana kamu masih mengeluarkan komen-komen yang  tidak selayaknya dikeluarkan oleh orang yang ada otak hanya semata-mata kerana mahu menegakkan benang yang basah, benar-benar satu fenomena yang sangat pelik.

Tidak perlulah kamu semua hendak susah payah buat macam-macam kajian post mortem untuk kenal pasti mengapa Umno kalah di PRU14 baru-baru ini. Jangan buang masa. Jangan terus hidup dalam delusi dan penafian. Terima sahajalah hakikat bahawa inilah dosa dan kesalahan kamu kepada rakyat dan sebab utama mengapa kami benci kepada Umno.

Tolong jangan hina dan malukan Islam. Bingung orang bukan Islam lihat kamu mengamalkan Islam hingga agama suci ini kelihatan seperti agama kartun.

Islam tidak pernah mengajar umatnya berpihak kepada kemungkaran dan kebatilan. Islam ajar umatnya berpihak kepada kebenaran dan bersikap adil sepanjang masa.

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. [An-Nisaa’ (4) :135]

Mana logiknya kamu mengaku beragama Islam tetapi pada masa yang sama sanggup sokong dan pertahankan seorang pencuri dan penipu sebagai ketua negara? Sikap ini tidak ubah seperti mengaku beriman kepada Allah tetapi pada masa yang sama pergi minta nombor ekor dari pokok besar di kawasan perkuburan.

Jika ada di kalangan kamu yang masih lagi percaya bahawa Najib bukan pencuri dan terus mahu menyokongnya, kesian betul kamu ni. Memang sia-sialah kamu masuk dalam bulan suci ini dalam keadaan masih buta kepada kebenaran kerana tetap degil menyokong kemungkaran.

Saya bimbang di akhirat nanti, Nabi (saw) tidak mahu mengaku umat walaupun kamu pulang kepada Allah dengan amal ibadah sebanyak 10,000 metrik tan yang kamu sangka pahala untuk diberi hitungan baik, padahal ia akan hangus dan tertolak.

Daripada Ka’ab bin ‘Ujrah, ia berkata bahawa pada suatu hari Rasulullah (saw) telah bersabda : 

“Wahai Ka’ab! Aku mohon perlindungan daripada Allah (swt) supaya melindungimu daripada pemerintah-pemerintah yang datang selepas aku.

Barangsiapa yang mendatangi pemerintah serta membenarkan pembohongan mereka dan membantu kezaliman-kezaliman mereka, sesungguhnya mereka yang berbuat demikian bukanlah daripada umatku dan ia tidak akan dapat menemui aku dan menghampiri telagaku (Al-Kauthar) di akhirat kelak.

Barangsiapa yang terpaksa bertemu pemerintah sedang dia tidak membenarkan pembohongan pemerintah itu dan tidak membantu di atas kezaliman pemerintah tersebut, sesungguhnya aku adalah sebahagian daripadanya.”
[Jami` at-Tirmidhi, Hadis Sahih no. 2259]

Ketahuilah bahawa Allah itu bersifat Maha Adil. Dia pantang hamba-hambaNya bersikap zalim dan tidak adil. Ini termasuk juga mereka yang menyokong pemimpin-pemimpin zalim.

Bagaimana hendak ke Jannah jika Nabi tolak dan tidak mahu mengaku kita sebagai umatnya di akhirat kelak? Beranikah kamu ambil risiko ini? Na uzubillahi min zalik..

Ambil peluang dalam bulan Ramadan yang suci ini untuk bertaubat. Berlepas dirilah dari kemungkaran. Berlepas dirilah kamu semua dari Najib Razak wahai penyokong-penyokong Umno sekalian, jika kamu ingin selamat.

Ramadan Mubarak wahai ahli-ahli dan penyokong-penyokong Umno sekalian!

Comments

Popular posts from this blog

Ramadan Mubarak 2018 (Siri ke-6) : Amaran keras dari Allah dan RasulNya supaya jangan cenderung kepada orang zalim yang akan muflis di akhirat nanti.

Persamaan sebahagian besar umat Islam dengan penganut agama Kristian

Penghina Agama