Ramadan Mubarak 2018 (Siri ke-7) : Tafsir ringkas bagi ayat 175 - 178 dari surah Al-A’raaf

Berikut adalah mafhum bagi ayat 175 - 178 dari surah Al-A’raaf (7) untuk renungan kita hari ini :

“Dan bacakanlah kepada mereka wahai Muhammad, suatu berita tentang oran yang telah Kami berikan kepadanya kefahaman dan peringatan yang mendalam mengenai ayat-ayat dan tanda-tanda keagungan Kami. Tetapi dia telah berpaling dari peringatan-peringatan tersebut.

Lalu dia diikuti oleh syaitan yang sentiasa berusaha untuk menggodanya. Maka jadilah dia akhirnya dari kalangan orang-orang yang sesat.

Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh tingkatkan darjatnya disebabkan oleh kefahamannya yang mendalam dan keimanannya yang tinggi terhadap peringatan-peringatan yang telah Kami beri kepadanya. Tetapi dia lebih cenderung kepada dunia dan telah memilih untuk menurut hawa nafsunya yang rendah.

Perumpamaan baginya ialah seperti seekor anjing yang mengharapkan sesuatu. Jika kamu menghalaunya, dia akan lari dalam keadaan menghulurkan lidahnya kerana hampa. Dan jika kamu membiarkannya sahaja, dia akan tetap menghulurkan lidahnya kerana mengharapkan sesuatu untuk dilemparkan kepadanya. Demikianlah perumpamaan bagi orang-orang yang mendustakan tanda-tanda serta ayat-ayat peringatan Kami.

Maka ceritakanlah kepada orang ramai tentang kisah ini agar mereka akan berfikir. Amat buruk perumpamaan orang-orang yang mendustakan peringatan-peringatan Kami. Mereka hanya berlaku zalim keatas diri mereka sendiri.

Ketahuilah bahawa barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah atas kesungguhannya untuk bertaqwa kepada Allah dan istiqomah dalam usahanya, maka dia akan mendapat bimbingan dan perlindungan dari Allah. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah kerana memilih kesesatan, maka dialah orang yang besar kerugiannya di sisi Allah.”


Kisah yang Allah ceritakan ini ialah mengenai seorang ulama yang sangat wara’ di zaman Nabi Musa bernama Bal’am bin Ba’ura. Bal’am telah menuruti kehendak pemerintah yang fasiq walaupun dia sedar perbuatannya salah.

Dia terpedaya dengan habuan dunia yang dijanjikan kepadanya dan berpaling dari peringatan-peringatan Allah. Sebaliknya, dia telah memilih syaitan sebagai walinya.

Kisah Bal’am berakhir dengan dirinya berada dalam kesesatan dan pulang kepada Allah sebagai seorang yang sangat rugi.

Dalam konteks di negara kita sekarang, saya tidak dapat elakkan dari mengaitkan bekas Menteri Agama kita yang bernama Jamil Khir Baharom, timbalannya yang bernama Asyraf Wajdi Dusuki dan pegawai khas agama kepada Najib yang bernama Fathul Bari Mat Jahya kesemuanya dengan Bal’am bin Ba’ura.

Selain mereka bertiga, kaitan yang sama juga merangkumi semua ulama-ulama kerajaan yang berkhidmat di bawah pentadbiran Najib Razak dan para mufti sekalian yang sepatutnya memahami ajaran Islam dengan mendalam. Aneh bin pelik apabila tiada seorang pun dari mereka, kecuali mufti Perlis seorang sahaja, yang menegur ketelanjuran Najib dan kuncu-kuncunya mencuri harta dan khazanah rakyat yang berbillion-billion banyaknya.

Sekiranya mereka tegur secara diam-diam dan mendapati teguran mereka bagaikan air yang dicurah ke daun keladi, maka mereka sepatutnya letak jawatan supaya tidak bersubahat dengan kemungkaran yang jelas ini.

Tetapi sekiranya mereka hanya berdiam diri dan tidak menegur Najib kerana bimbang jika tindakan ini akan menjejaskan kedudukan mereka, maka tidak keterlaluanlah kalau saya samakan mereka dengan Bal’am bin Ba’ura bagi versi Melayu.

Jika mereka was-was untuk mempercayai samada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh media antarabangsa dan pihak pembangkang terhadap Najib sepanjang 3 tahun lalu sejak skandal 1MDB meletup pada Julai 2015 dulu itu benar atau tidak, bukti apa lagi yang mereka mahu tunggu sebelum bersuara?

Di mana logiknya seorang pemimpin negara demokrasi dalam dunia ini boleh mempunyai wang sebanyak RM2.6 billion dalam akaun bank peribadinya walau apa pun alasan dan sebab yang diberi olehnya?

Di mana logiknya juga apabila wang sebanyak RM42 juta dipindahkan dari sebuah syarikat kerajaan bernama SRC International kepada akaun bank peribadinya dan alasan yang diberi olehnya ialah dia tidak sedar dan tidak tahu dari mana datangnya wang ini?

Dan yang terkini ialah di manakah kewajarannya bagi seorang Perdana Menteri sorok dan simpan wang tunai sebanyak RM114 juta dalam 35 buah beg di sebuah kondominium mewah Pavillion Residences yang tidak berpenghuni?

Dengan berdiam diri terhadap kemungkaran-kemungkaran yang besar ini, ia membuat rakyat tertanya-tanya mengapa para agamawan Islam pilih untuk berpihak kepada Najib yang rakus menyamun khazanah negara dan bukannya berpihak kepada rakyat yang semakin tertindas dengan kesempitan hidup akibat salahlaku Najib?

Sikap mereka telah mencemarkan imej kesucian dan keindahan Islam kerana ia membawa isyarat seolah-olahnya Islam merestui salahlaku dan jenayah mencuri dan rasuah. Ia juga menggambarkan agamawan-agamawan Islam seolah-olahnya bagaikan orang-orang yang out of touch with reality dan tidak boleh berfikir seperti manusia normal.

Persoalannya sekarang ialah adakah mereka mengambil sikap berdiam diri kerana tersilau dengan gemerlapan cahaya pangkat dan kedudukan dunia hingga mata mereka hilang deria penglihatannya, telinga mereka hilang deria pendengarannya, hidung mereka hilang deria untuk menghidu bau busuk, mulut mereka terjahit sepenuhnya, otak mereka hilang kemampuan untuk berfikir dengan waras dan hati mereka tertutup dari menerima sinar cahaya kebenaran?

Pada ayat 7:176, Allah umpamakan ulama-ulama yang menjual diri mereka dengan kesanggupan menjadi khadam kepada pemerintah yang fasiq untuk mendapatkan balasan habuan dunia sebagai anjing yang terjelir lidahnya sepanjang masa. Dihalau pun dia terjelir, dibiarkan sahaja pun dia tetap terjelir juga.

Secara semulajadi, anjing mempunyai sifat yang sangat setia kepada tuannya dan sentiasa mengharapkan sedikit habuan dilemparkan kepadanya. Samada tuannya itu orang baik atau penyamun, anjing tidak mempunyai kebolehan untuk membezakannya. Yang dia tahu ialah untuk tetap setia kepada tuannya yang membela dan memberinya makan.

Jangan marah saya bila saya menulis begini. Bukan saya yang berkata begini, tetapi Allah yang berkata demikian dan Dia perintahkan kita supaya beri peringatan ini kepada orang-orang beriman, terutamanya kepada golongan para ulama supaya jangan jadi seperi Bal’am bin Ba’ura :

“Maka ceritakanlah kepada orang ramai tentang kisah ini agar mereka akan berfikir.” [7 : 177]

Semoga kita dapat mengambil iktibar dari kisah ini dan akan dilindungi oleh Allah dari ujian yang seperti ini. Dan semoga Allah selamatkan kita dari pulang kepadaNya dalam keadaan yang sesat dan rugi.

Allahumma aamiin. Ramadan Mubarak.. 

Comments

Popular posts from this blog

Ramadan Mubarak 2018 (Siri ke-6) : Amaran keras dari Allah dan RasulNya supaya jangan cenderung kepada orang zalim yang akan muflis di akhirat nanti.

Persamaan sebahagian besar umat Islam dengan penganut agama Kristian

Penghina Agama