Antara legasi Tok Guru Nik Aziz dan kemimpinan Hj. Hadi Awang

Rencana ini agak panjang dan ia ditujukan kepada penyokong-penyokong Pas yang masih boleh berfikir dengan waras dan bukannya dari kalangan mereka yang taksub.

Saya bukan ahli parti Pas. Tetapi saya adalah seorang bekas penyokong tegar Pas yang telah berhenti menyokong parti ini selepas Perhimpunan Agungnya berlangsung pada 6 Jun 2015 di Kuala Selangor di mana pemilihan pemimpin parti di semua peringkat telah diadakan pada waktu itu.

Sejarah saya mula menyokong Pas bermula setelah saya kembali dari menuntut di luar negara pada Julai 1987 di usia 24 tahun dan duduk di Kuala Terengganu sementara menunggu isteri saya melahirkan anak sulung kami di bulan November pada tahun yang sama.

Selama tempoh tersebut, saya cuba “mencari” Islam dengan mengunjungi banyak masjid di sekitar Kuala Terengganu. Tetapi apa yang saya cari tidak ditemui di semua masjid-masjid yang dikunjungi kerana ilmu dan maklumat yang saya terima tidak memuaskan hati dan gagal untuk memberi apa-apa bekas kepada jiwa saya. Sebaliknya, semakin banyak soalan-soalan yang mula timbul di dalam kepala saya.

Hinggalah saya mula mengunjungi Masjid Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) di Kg. Rusila, Marang, Terengganu, untuk mengikuti kuliah tafsir Quran yang beliau sampaikan pada setiap pagi Jumaat. Diringkaskan cerita, saya terpegun dan kagum dengan penyampaian ilmu oleh TGHA dan merasakan hampir semua soalan-soalah yang bersarang di dalam kepala saya pada ketika itu terjawab.

Mulai dari detik itu, saya menjadi peminat dan anak murid setia TGHA. Beliaulah yang bertanggung-jawab membuat saya menjadi semakin berminat mendalami agama dan mengaplikasikan ajaran Islam dalam usaha untuk menjadi seorang Muslim yang diredhai Allah.

Setelah anak saya dilahirkan, saya bawa isteri dan anak kecil saya kembali ke tempat asal saya di Kuala Lumpur untuk memulakan karier dan membina kehidupan. Sepanjang bertambahnya usia, saya telah menjadi penyokong tegar perjuangan Pas yang ingin mendaulatkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai perlembagaan negara. Dan pada tempoh itu jugalah saya mula mengikuti kuliah-kuliah Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) melalui kaset-kaset yang saya beli di beberapa masjid di sekitar Kuala Lumpur.

Kadang-kadang saya akan juga hadiri majlis-majlis ilmunya jika beliau berkunjung ke Kuala Lumpur. Mendengar ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh ATGNA membuat saya jadi lebih cinta kepada Islam. Sukar untuk rasa tidak tersentuh jiwa apabila melihat dan mendengar cara ATGNA menyampaikan ilmu.

Kini saya berusia 55 tahun. Saya mempunyai  4 orang anak hasil perkongsian bersama seorang isteri yang sentiasa berada disamping saya sepanjang 32 tahun kami berkahwin. Hidup kami selesa, Alhamdulillah..

Malangnya pada 3 tahun lalu (2015), saya terpaksa “buang” tok guru yang amat saya kasihi dan hormati sepanjang 28 tahun bermula dari waktu pertama kali saya menjejak kaki di Masjid Kg. Rusila pada tahun 1987 dulu. Sejujurnya, tidak sukar bagi saya membuat keputusan untuk membuang dan meninggalkan Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) dari terus mengikuti perjuangannya kerana saya adalah seorang yang berfikiran waras dan objektif.

Saya berpelajaran dan saya tahu betapa pentingnya untuk tidak kufur kepada nikmat akal yang Allah kurniakan kepada saya. Kita dituntut menggunakan akal kita secara secara kritis kerana Allah telah menyebut dalam Al-Quran bahawa di akhirat kelak, kita akan dipertanggung-jawabkan ke atas segala pendengaran, penglihatan dan niat termasuk perbuatan kita (Al-Israa’ : 36). Suruhan supaya kita jangan taksub kepada pemimpin dan sentiasa berfikir secara kritis dengan akal yang sihat untuk menilaikan apa yang benar dan batil berada di merata-rata tempat di dalam Al-Qur'an.  

Lawan kepada sikap ini ialah jahil, sombong dan taksub. Dalam bahasa pasar, ia dinamakan bodoh sombong. Dan saya bukan orang yang bodoh sombong dan tidak bercita-cita menjadi begitu. Sia-sia Allah beri akal jika saya tidak mahu gunakannya dengan betul untuk bezakan yang benar dari yang batil dan sebaliknya hanya bertaqlid buta dan taksub kepada orang lain.

Saya berhenti menyokong TGHA dan Pas setelah saya lihat bagaimana anak-anak didik Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) dikecam, dihina dan dihambat oleh ahli-ahli haluan kanan dalam parti ini bermula dari detik ATGNA meninggal dunia pada 12 Februari 2015 hingga 4 bulan kemudian pada waktu Perhimpunan Agung Parti pada bulan Jun di tahun yang sama untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka.

Segala nilai-nilai yang diajar oleh Islam dan akhlak yang sepatutnya dipamirkan oleh golongan yang bergelar Ustaz ini habis dicampak oleh mereka sendiri ke longkang pada waktu itu. Malu saya untuk bersama jamaah yang begini.

Malah ramai kenalan saya dari kalangan orang yang tidak beragama mempunyai akhlak yang lebih baik dari ustaz-ustaz Pas yang bagaikan dirasuk hantu pada ketika itu. Apa guna bergelar Ustaz dalam parti yang mendabik dada memperjuangkan Islam jika perangai lebih buruk dari orang yang tidak beragama dan tidak percaya kepada Tuhan

Saya amat kecewa dengan sikap TGHA pada waktu itu. Bagaimana dia sanggup biarkan saja keadaan yang memalukan ini berlaku secara berleluasa tanpa apa-apa teguran benar-benar membuat saya hilang rasa hormat kepadanya. Saya bingung memikirkan apa sandaran agama yang digunakan olehnya untuk mewajarkan tingkah laku yang buruk dan tidak berakhlak begini hingga merosakkan imej Islam.

Demikianlah serba sedikit latar belakang mengenai sejarah bagaimana saya jatuh cinta dengan Pas 31 tahun lalu, setia bersamanya selama 28 tahun dan kemudian membuat keputusan untuk bercerai dan berpaling darinya pada 3 tahun lalu.

Sekarang saya akan mula beri gambaran mengenai penyakit kronik yang sedang dihidapi oleh Pas. Saya harap para penyokongnya akan mampu menilaikan kualiti parti ini secara jujur dan objektif.

Sebelum saya bercerita lebih panjang, cuba kita jawab soalan ini terlebih dahulu : Di era kepimpinan siapakah Pas lebih cemerlang dan disayangi rakyat? Adakah di era kepimpinan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) sebelum ini, atau di era Tuan Guru Hj. Hadi Awang (TGHA) sekarang?

Saya kemukakan 3 kayu pengukur utama yang ada pada diri Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (ATGNA) untuk digunakan di dalam penilaian ini :

1.    Beliau berdakwah sepanjang masa menyeru orang Islam dan juga yang bukan Islam dengan penuh hikmah dan bijaksana untuk menarik minat mereka kepada Islam.

2.    Beliau enggan mengadakan apa-apa jua jenis kerjasama politik dengan Umno kerana tidak mempercayainya walau sedikit pun.

3.    Gaya hidup beliau amat sederhana dan sangat tawadhuk (rendah diri).

Ketiga-tiga sifat ini secara sekaligus tidak terdapat pada hampir kesemua pemimpin-pemimpin tertinggi Pas yang ada pada hari ini. Yang lebih ketara ialah sikap mereka yang kuat putar belit, angkuh, tidak berhikmah dalam menyampai dakwah terutamanya kepada golongan non-Muslim dan lebih bergaya dari kemampuan masing-masing.

Ketika ATGNA masih hidup, masing-masing pemimpin Pas tidak pandai bergaya. Tiba-tiba hanya dalam tempoh singkat sejak 3 tahun selepas kematian beliau, entah dari manalah mereka berjaya mengumpul wang yang banyak untuk hidup bergaya dalam suasana ekonomi negara yang amat mencabar sejak 1-2 tahun kebelakangan ini. Saya tahulah, sebab saya seorang ahli perniagaan. Tetapi pemimpin-pemimpin Pas yang rata-ratanya bukan ahli perniagaan sepenuh masa, boleh "meletup" pula apa yang mereka usahakan dalam tempoh yang singkat untuk membolehkan mereka hidup mewah berbanding majoriti rakyat yang sedang bergelut dengan cabaran-cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi.

Pemimpin-pemimpin Pas sangat pandai menipu pada hari ini. Dan yang paling kuat sekali menipu ialah bekas tok guru saya itulah. Pelik betul saya lihat sikap dia sekarang. Kalau nak dibandingkan dengan ATGNA, bagaikan langit dan bumi perbezaan mereka. Yang peliknya ialah sebelum ATGNA meninggal dunia dulu, tidak pula saya perasan yang TGHA ini kuat temberang seperti sekarang. Sudahlah kuat temberang, kuat maki hamun pula lagi! Berlambak-lambak video yang terdapat di Youtube menjadi saksi kepada auta beliau.

Di celah-celah keadaan caca marba yang sedang berlaku pada Pas, satu perkembangan menarik telah berlaku di saat mutakhir ini. Tanpa disangka-sangka, anak lelaki sulung ATGNA yang bernama Nik Omar yang merupakan seorang ahli Pas, telah mengumumkan dirinya sebagai calun Parti Amanah Negara di hari penamaan calun pada 28hb April lalu untuk bertanding di kerusi DUN Chempaka yang menjadi kerusi tradisi almarhum ayahandanya sejak 1995. Berita mengejut ini bagaikan halilintar yang membelah langit dengan bunyi dentuman yang amat kuat hingga terhenti seketika degupan jantung ramai ahli-ahli Pas yang taksub kepada kepimpinan TGHA.

Tanpa lengah, beliau telah diserang oleh adiknya Nik Abduh dengan kata-kata keras dan juga oleh TGHA melalui kenyataan terbuka yang menyamakan beliau dengan anak Nabi Nuh yang telah menderhakai ayahnya. Padahal Nik Omar sedikit pun tidak menyebut apa-apa yang buruk terhadap mereka, malah beliau sempat mendoakan lagi kebaikan untuk adiknya yang  bertanding di kerusi Parlimen Bachok.

Persoalannya sekarang ialah siapa yang benar di antara kedua-dua pihak ini? Adakah tindakan Nik Omar yang memilih parti Amanah sebagai wadah perjuangannya untuk memenangkan Islam itu benar, atau perjuangan Pas di bawah pimpinan TGHA yang memilih untuk kerjasama dengan Umno itu yang benar? 

Yang pasti, ATGNA tidak pernah sekali pun bersetuju untuk Pas berkerjasama dengan Umno. Pendirian ini dipegang dengan amat teguh sehingga beliau meninggal dunia. Bagi beliau, berkerjasama dengan Umno adalah satu pengkhianatan yang besar kepada perjuangan Pas. Malah sesiapa yang beliau dapati cuba menjayakan usaha ini telah dimarahi dan dihalau keluar dari Pas. Begitu tegas pendirian beliau dalam hal ini tanpa ruang untuk kompromi.

Apa yang saya lihat ialah walaupun ATGNA mempunyai minda politik yang tajam, beliau tidak suka bermain politik ketika memimpin Pas dan ketika menerajui kerajaan negeri Kelantan sebagai Menteri Besarnya. Sebaliknya beliau lebih gemar berdakwah menyampaikan ilmu dan berusaha dengan jujur menjaga kebajikan rakyat. Cara dakwah beliau ialah melalui pendekatan Dakwah Bil Hal yang menyampaikan kebenaran dan keindahan Islam melalui akhlak dan tingkah laku dengan cara yang sangat berhikmah dan bijaksana.

Kita sedia maklum bahawa ketika hayatnya, ATGNA amat disenangi, disayangi dan dihormati oleh berjuta-juta rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat tidak kira yang Muslim dan yang non-Muslim, termasuk juga dari kalangan musuh-musuh politiknya dari Umno dan parti-parti lain. Beliau tidak pernah cakap berbelit. Perbuatannya selari dengan percakapannya. 

Pendekatan ini membuat ramai orang-orang non Muslim mula meminati Islam sehinggakan ramai di kalangan mereka telah mengundi Pas pada PRU13 lepas kerana merindui sebuah negara yang dapat memperjuangkan keadilan dan kebajikan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, dan mereka yakin Pas mampu “deliver” matlamat yang murni ini pada masa itu. Disebabkan ini Pas menang besar pada PRU13 dengan mendapat 21 kerusi Parlimen buat pertama kali dalam sejarah mereka.

Malangnya, selepas ATGNA meninggal dunia pada 12hb Februari 2015, sebahagian besar dari rakyat mula hilang keyakinan dan timbul pula rasa meluat terhadap Pas setelah TGHA mengambil alih tampuk kepimpinan Pas.  Islam mula kelihatan sebagai agama yang membingungkan. Ahli-ahli Pas syok sendiri dalam dunia mereka sehingga merasakan hanya mereka sahaja yang betul dan suci. Keluasan Islam mereka sempitkan sehingga wajah Islam yang indah telah menjadi hodoh.

Selain ini, mereka angkuh menghukum sesiapa yang tidak setuju dengan tafsiran Islam yang mereka bawa sebagai orang-orang yang rosak aqidah, malah terus dikafirkan juga kadang-kadang. 

Yang lebih teruk lagi ialah apabila mereka merasakan bahawa hanya dengan menyertai parti mereka sajalah baru seseorang itu akan layak ke syurga. Sehinggakan ada seorang Ustaz Pas di Perak berani mendakwa bahawa syarat bagi orang Melayu untuk masuk ke dalam syurga nanti ialah dengan menyertai Pas kerana di akhirat nanti, Malaikat akan meminta bukti nombor keahlian Pas dari kita sebelum dibenarkan masuk ke dalam syurga! Video tentang ini telah tular tidak berapa lama dahulu. Di sini linknya :

https://www.youtube.com/watch?v=LVcWAyFfCbA

Sekarang saya ingin tanya : Apa hukumnya bagi seseorang meletak syarat yang diada-adakan dalam agama yang tidak pernah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan urusan ghaib seperti syurga dan neraka? Anda jawab sendirilah.

Mereka tanpa segan silu berpendirian bahawa hanya dengan menyertai Pas dan memberi ketaatan tanpa berbelah bahagi kepada pemimpin-pemimpin parti ini sajalah baru keislaman orang Melayu akan jadi sempurna. Pas adalah bagaikan agama bagi mereka. Sertai Pas jika ingin ke syurga. Sesiapa yang tinggalkan Pas dianggap telah meninggalkan Islam.

Tiba-tiba, apabila Nik Omar membuat kejutan untuk bertanding sebagai calun parti Amanah di DUN Chempaka di hari penamaan calun pada 27hb April lalu kerana ingin meneruskan legasi ayahandanya, hampir seluruh rakyat Malaysia yang tidak cenderung kepada Pas dan Umno menyambut dan meraikan langkah Nik Omar ini dengan penuh gembira dan rasa syukur.

Paling tidak diduga ialah reaksi golongan non Muslim apabila melihat beliau membuat ucapan sulungnya di atas pentas politik pada hari Khamis, 3hb Mei 2018 di Putrajaya. Banyak komen-komen positif muncul dan bertebaran di media-media sosial mengenai kerinduan mereka terhadap ATGNA yang kini telah terubat dengan kemunculan Nik Omar pada saat terkahir bersama parti Amanah di persada politik negara. Mereka juga menzahirkan rasa optimis terhadap keindahan Islam yang sudah mula bersinar kembali setelah melihat video ucapan Nik Omar selama 15 minit di Youtube. Jika anda masih belum menontonnya, sila klik link di bawah :


Sebenarnya, faktor keterujaan yang dizahirkan oleh ramai orang non-Muslim inilah yang merangsang saya menulis rencana ini. Keterujaan mereka berserta harapan besar agar pendekatan Islam yang dibawa oleh ATGNA dahulu akan dihidupkan kembali bagi membolehkan mereka mendapat peluang mendekati Islam telah membuat saya jadi lebih teruja dari mereka.

Kajian perbandingan agama dan usaha dakwah untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada non Muslim adalah bidang yang saya amat minati. Islam bukan suatu agama syok sendiri yang ekslusif untuk bangsa Melayu sahaja. Islam wajib disampaikan dengan baik dan bijaksana kepada seluruh umat manusia. Ini tugas dan tanggung jawab setiap umat Nabi Muhammad (saw).

Tetapi realitinya ialah walaupun negara kita sudah merdeka selama 60 tahun, mengapa kita masih gagal berdakwah dengan berkesan kepada rakan-rakan non-Muslim kita? Sebaliknya, Islam telah jadi lebih sukar dan tidak praktikal kepada mereka. Ini berlaku akibat sikap tolol bangsa kita yang telah menyempitkan keluasan agama suci ini dan menyusahkan apa yang pada asalnya mudah.

Hakikat inilah yang TGHA dan penyokong-penyokong fanatiknya tidak faham sedikit pun. Cara yang mereka tahu ialah bersikap kasar, bengis, kuat menghukum orang lain dan kuat putar alam. Jangankan orang non-Muslim yang jadi menyampah dan meluat dengan Islam, orang Muslim sendiri pun semakin ramai yang lari tinggalkan Islam!

Bagi saya, kalau kita betul-betul ingin uji “kehebatan” kita, cuba berdakwah dan sampaikan Islam kepada golongan non-Muslim. Kalau setakat nak syok sendiri sahaja dengan mengamalkan berbagai-bagai amalan bid'ah, jangan perasanlah.

Selanjutnya, disamping tadbir-urus yang baik dan menjunjung prinsip-prinsip keadilan yang saksama kepada semua lapisan rakyat tanpa mengambil kira latar belakang agama dan bangsa, ukuran kejayaan sebenar bagi sesebuah negara di sisi Allah ialah apabila berbondong-bondong rakyatnya memeluk Islam dengan sukarela (An-Nasr : 1-3).

Di mana kedudukan kita jika surah ini digunakan sebagai untuk mengukur kejayaan kita setelah 60 tahun merdeka? Dan di manakah pula kedudukan Pas dalam konteks ini? Apakah kita yakin bahawa budaya dan pendekatan yang mereka ambil sejak 3 tahun lalu mampu memenuhi matlamat yang disampaikan oleh Suran An-Nasr dengan berkesan? Setakat nak maki hamun dan kafirkan orang, bolehlah.

Bayangkan.. Dalam tempoh 3 tahun setelah kematian ATGNA pada tahun 2015 hingga ke hari ini, wajah dan imej Islam telah dirosakkan oleh Pas di bawah pimpinan TGHA. Tiba-tiba, hanya dalam tempoh 1 minggu sahaja sejak 28hb April 2018 hingga ke hari ini, sebilangan besar rakyat negara ini, baik yang Muslim dan yang non-Muslim juga, bagaikan melompat dengan rasa penuh teruja dan gembira apabila Nik Omar muncul dengan pembawakan diri dan gaya percakapannya yang sangat mirip dengan almarhum ayahandanya. Rakyat benar-benar melihat beliau sebagai satu-satunya anak ATGNA yang mampu meneruskan legasi ayahandanya yang cuba dipadamkan oleh pemimpin-pemimpin Pas hari ini.

Cuba kita fikir.. Mengapa perasaan optimis ini tidak ujud terhadap parti Pas yang diterajui oleh Hadi Awang sepanjang 3 tahun lalu sebelum kemunculan Nik Omar?

Apa gunanya berkokok tentang kebenaran Islam jika ia gagal disampaikan dengan baik untuk menarik minat orang ramai terhadapnya? Jika Nabi (saw) gagal menyampaikan dakwah Islam dengan baik kepada orang-orang Arab yang berkeliaran di padangan pasir kira-kira 1430 tahun lalu, bolehkah kita harapkan Islam akan berjaya di atas mukabumi ini sehingga mempunyai seramai 1.8 billion penganut pada hari ini? Yang pasti ialah bukan mesej kebenaran saja yang penting. Penyampaiannya juga sama penting. Tanpa kedua-dua ini, Islam pasti tidak akan berjaya.

Jika kita bersetuju bahawa pendekatan Islam yang dibawa oleh TGNA sangat berkesan untuk diterima dengan baik oleh ramai rakyat Malaysia, tidakkah logik dan wajar untuk kita tinggalkan Pas dan alihkan sokongan kepada Nik Omar serta Pakatan Harapan agar legasi ATGNA dapat diteruskan?

Tindakan ini tidak sukar kalau kita boleh berfikir secara objektif dan sanggup bersikap tegas mengambil keputusan yang terbaik untuk diri, agama, dan negara kita.

Saya tidak mengharapkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong Pas yang taksub kepada kepimpinan TGHA akan membaca apa yang saya sampaikan dalam rencana ini dan kemudian berfikir mengenainya secara waras dan rasional. Cakaplah sampai berbuih-buih mulut pun, buang masa sahaja kerana mata kepala mereka sudah buta sementara mata hati mereka telah termeterai dari melihat kebenaran yang terpampang secara logik. Sikap taksub mereka sama seperti penyokong-penyokong totok Umno. 

Tetapi saya mengharapkan mesej ini akan membuat ramai pencinta-pencinta Islam yang inginkan pemimpin-pemimpin jujur untuk mentadbir urusan negara kita dengan lebih telus dan amanah, akan berfikir dengan rasional dan mengambil tindakan yang betul pada hari mengundi kelak sekiranya kita ingin legasi ATGNA yang akan menyerlahkan kebenaran dan keindahan Islam dapat diteruskan.

Perlu saya beritahu juga bahawa pendekatan yang diambil oleh kepimpinan Pas bukan saja telah mengkhianati dasar dan corak perjuangan ATGNA seorang sahaja. Malah ada 2 orang lagi tokoh besar Pas yang telah sama-sama dikhianati iaitu :


1.    Tuan Guru Yusof Rawa (Mursyidul Am Pas yang pertama).

2.    Dato’ Fadzil Noor (Presiden Pas).

Yang anehnya ialah anak-anak kepada ketiga-tiga tokoh Pas ini telah meninggalkan Pas untuk menyertai Amanah kerana mereka lihat dan alami sendiri bahawa Pas telah rosak dan terkeluar dari landasannya yang sebenar. Mereka adalah :

1.    Dato’ Dr. Mujahid Yusof (Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak).

2.    Faiz Fadzil (Calun ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang).

3.    Nik Omar (Calun ADUN Chempaka, Kelantan).

Saya yakin bahawa sekiranya ATGNA, Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Yusof Rawa masih bersama kita pada hari ini, sudah tentu Pas tidak akan rosak seperti apa yang kita lihat sekarang dan pasti Pas akan cemerlang serta disayangi oleh rakyat.

Bertindaklah dengan betul pada 9 Mei nanti jika kita ingin Nik Omar meneruskan legasi Almarhum Tuan Guru Nik Aziz untuk membawa Islam yang bersifat rahmat bagi seluruh alam mencapai kemenangan dan sekaligus mampu beri kesejahteraan kepada rakyat dan negara.


Allahu Akbar!!!

Comments

  1. Andai kata ATGNA msh ada, saya yakin pas di bwh pimpinan beliau msh kekal tidak berpecah dan akan turut bersama PH menjatuhkan kerajaan kleptokrat bn. Klu pas berpecah pon, mungkin hadi hadi dan penyokong2 dia yg bertindak meninggalkan pas utk ber UG dgn umno/bn sementara ahli2 pas majoritinya akan mendokong ATGNA bersama PH.
    Belum terlambat utk ahli2 pas yg msh cintakan kebenaran dan keindahan Islam. Ustaz Nik Umar telah menunjukkan contoh tauladan yg baik utk ahli2 pas yg benar2 ikhlas ingin berjuang utk meninggikan Islam. Ayuh sama2 kita berjuang membawa perubahan kpd negara yg tercinta

    ReplyDelete
  2. Well said Manan. Betul apa yg ditulis. Saya sememangnya tidak setuju dengan cara ustaz-ustaz dari PAS memberi ceramah agama, dengan meninggikan suara, memandang rendah terhadap insan yang lain. Saya tidak kenal siapakah Nik Omar ini sebenarnya kerana saya tidak mengikut langsung perkembangan politik PAS sehinggalah pertama kali saya mendengar ceramahnya melalui Youtube yang dikongsikan oleh seorang kawan. Rasa sebak bila melihat beliau dan tidak sedar air mata mengalir. Lain rasanya semangat kali ini melihatkan buat pertama kalinya rakyat Malaysia mempunyai matlamat yang sama untuk menukar Kerajaan yang ada sekarang ini. Hanya Allah yang tahu segalanya apa yang akan terjadi dengan negara kita Malaysia pada 9 May ini. Kita mohon kepada Allah agar beri yang terbaik kepada negara dan rakyat Malaysia, apa yang elok di sisiNya dan yang elok bagi kita semua. Well done Manan.

    ReplyDelete
  3. Sila baca sejarah islam silam, bagai mana sesama sahabat boleh berperang, kerana org yg ketiga,disini dap dan konco2 nya dari kalangan melayu sendiri telah menjadi org yg ketiga,hanya org yg teliti dan tidak menyebelahi mana2 pihak yg faham tektik dab strategi yg mereka lakukan kerana mereka di latih oleh pakar2 dari zionis.
    Kaji mcmna mereka dulu memecah dan jajah tanah arab,
    Kalau kita masih salah menyalah sesama sendiri maknanya meteka telah berjaya, fahami video ucapan para pemimpin dap waktu sesama mereka, dan fikir betul2, nanti kita akan faham dgn sendirinya.

    ReplyDelete
  4. Well written,well said and well articulated.....memang benar apa yang dituliskan dan dibutirkan malah saya hampir sama mengalami apa yang ditulis oleh saudara Manan sebagai ahli pas dan kini meninggalkan pas atas sebab yang sama.....syabas saudara Manan.....kita memerlukan pemimpin yang benar2 tahu halatuju untuk kesejahteraan semua rakyat dan bukan bigot dalam memahami ajaran agama.....Nik Omar jelas matang dan berilmu dan berfikiran kritis dan saya yakin dapat menjadi pemimpin yang boleh diterima oleh semua tidak kira agama,bangsa atau keturunan....

    ReplyDelete
  5. zaman nik aziz dulu sanggup beli Harakah lebih dan edar kpd orang. dan saya masih simpan harakah2 tu sampai skrg. tp zaman hadi dah tak pernah beli, dan tak tahu samada Harakah tu wujud lg ke tidak. skrg tak berapa gemar dgn politik Malaysia. semua ahli politik nak jadi ahli politik dan pegang jawatan sampai mati agaknya, lepas tu turunkan ke anak. mereka sgt kaya raya, tak habis 7 keturunan. Sgt membebankan rakyat, integriti ke laut ....

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Ramadan Mubarak 2018 (Siri ke-6) : Amaran keras dari Allah dan RasulNya supaya jangan cenderung kepada orang zalim yang akan muflis di akhirat nanti.

Persamaan sebahagian besar umat Islam dengan penganut agama Kristian

Penghina Agama