Untuk tatapan Ustaz Fathul Bari Mat Jahya (Ketua Ulama Muda Umno)
Rencana
bertajuk “Rasuah Adalah Dosa Besar”
ini ditulis oleh Ustaz Fathul Bari Mat Jahya pada 21hb Oktober 2013 yang
saya kutip dari link berikut :
Saya
harap apa yang siarkan dalam blog ini akan sampai ke tatapan Ustaz Fathul Bari
yang pernah saya ikuti beberapa kuliahnya waktu beliau baru pulang dari Madinah
dan mengisi jawatan sebagai Penasihat
Agama di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Saya
kagumi ketajaman hujjah, kepetahan percakapan dan kesungguhan beliau yang
kelihatan begitu komited untuk memperjuangkan amalan2 sunnah Nabi (saw) pada
waktu itu. Tetapi itu kisah lama.
Saya ingin tahu jika beliau masih percaya dan berdiri
teguh di belakang apa yang pernah ditulisnya ini. Dan apakah beliau juga
benar-benar faham pesanan Rasulullah (saw) yang terdapat dalam dua potong hadis
sahih yang telah saya post di blog saya seperti berikut :
Bagus kalau beliau boleh beri jawapannya di
sini.
RASUAH ADALAH DOSA BESAR
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya, Oktober
21, 2013
Rasuah (dalam bahasa Arab disebut risywah) adalah pemberian
sesuatu dengan tujuan membatalkan suatu yang haq atau untuk membenarkan suatu
yang batil. (Al-Mausu’ah
Al-Fiqhiyyah).
Dapat
disimpulkan, ia adalah apa saja pemberian kepada seseorang untuk mendapatkan
sesuatu yang bukan haknya atau untuk mengelakkan suatu kerugian yang sepatutnya
terjadi kepadanya.
Hukum memberi
atau menerima rasuah adalah haram, ia merupakan dosa besar kerana pelakunya
dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya SAW. Dari Abdullah bin ‘Amr dia berkata:
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hasan Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi).
Pemberi dan
penerima rasuah berhak mendapat kemurkaan Allah dan dijauhkan dari rahmat Allah
SWT kerana mereka telah melakukan suatu perbuatan yang batil dan mengambil
sesuatu yang bukan hak mereka.
Allah SWT
berfirman di dalam Al-Quran menceritakan tentang orang-orang Yahudi, “Mereka
adalah orang-orang yang Allah sudah tidak berkehendak mensucikan hati mereka,
bagi mereka kehinaan di dunia dan azab yang pedih di Akhirat. Mereka gemar
mendengar berita bohong dan gemar memakan Al-Suht (yang haram).” (Surah Al-Maidah: 41-42)
Dalam
menafsirkan ayat ini, Umar Al-Khatthab, Ibn Mas’ud ra. dan selainnya mengatakan
yang dimaksud dengan As-Suhtu (suatu yang haram) adalah rasuah. (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran,
Al-Qurthubi).
Ibnu Mas’ud
ra. mengatakan, “Rasuah bagi menetapkan hukum (bagi pemerintah atau hakim)
adalah kekufuran, adapun bagi masyarakat adalah Al-Suht (haram).” (Al-Tabarani, Mu’jam Al-Kabir).
Namun tidak
kurang ramai di kalangan masyarakat yang terlibat dengan rasuah yang kadangkala
tanpa mereka sedari, boleh jadi kerana istilahnya telah diubah kepada hadiah
dan sebagainya. Hal ini terjadi baik untuk mendapatkan jawatan atau pekerjaan,
tender, untuk memasukkan anak ke sekolah atau universiti, atau untuk mencapai
tujuan dunia yang lain. Ini adalah kezaliman kerana mengambil sesuatu yang
mungkin sepatutnya adalah hak orang lain.
Hadiah-hadiah
yang kita berikan kepada hakim atau pemerintah, juga termasuk dalam kategori
rasuah yang diharamkan, walaupun ia dilakukan untuk mendapatkan hak kita
kembali. Walaupun terjadi khilaf di mana ada ulama membolehkan memberi
pemberian untuk mendapatkan hak, namun pendapat ini dibantah oleh sebahagian
ulama yang lain.
Ini kerana
jika kita memberi wang kepada hakim kerana kita di pihak yang dizalimi, kita
sebenarnya membantunya dalam kezaliman yang dia lakukan, dan menggalakkannya
untuk mengulangi lagi kezaliman itu pada masa akan datang. Kerana itu dalam
banyak hal yang membabitkan kezaliman pemerintah, Islam banyak menyuruh supaya
kita bersabar.
Ini
merangkumi petugas-petugas yang mewakili pemerintah seperti polis dan
sebagainya, janganlah kita memberi hadiah atau wang kepada mereka untuk
melepaskan diri dari hukuman, atau untuk meringankan hukuman. Walaupun namanya
diubah kepada hadiah, tetapi hakikatnya ia adalah rasuah yang haram dan
mendapat laknat Allah dan RasulNya, maka jangan sesekali kita terlibat di
dalamnya.
Para hakim,
petugas, pemerintah juga jangan menerima sebarang bentuk hadiah, ini termasuk
ghulul yang diancam dengan ancaman yang berat. Sabda Nabi, “Barangsiapa yang
kami tugaskan dengan suatu pekerjaan lalu kami tetapkan gaji untuknya, maka apa
yang dia ambil di luar itu adalah harta ghulul” (Sahih. Abu Daud). Ini
adalah bagi mengelakkan kezaliman, di mana orang berharta terlepas dari hukum
dengan membayar wang, manakala orang yang tidak berharta tidak bebas dari
hukuman.
Takutlah kita
apabila membaca firman Allah, “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta
sebahagian yang lain dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa harta
itu kepada hakim, supaya kamu memakan sebahagian harta benda orang lain dengan
dosa padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah:
188).
Imam
Al-Qurthubi berkata, “Barangsiapa mengambil harta orang lain bukan dengan cara
yang dibenarkan syariat maka dia telah memakannya dengan cara yang batil. Di
antara bentuk memakan dengan cara batil adalah seorang hakim yang memenangkan
kamu sedangkan kamu tahu bahawa kamu salah. Sesuatu yang haram tidak berubah
menjadi halal dengan keputusan hakim.” (Al-Jami’
Li Ahkam Al-Qur’an)
Comments
Post a Comment