Mengenali Allah

Hakikat mengenai betapa besar dan agungnya Zat Allah tidak terwadahi, yakni tidak mampu di “accommodate” secara keseluruhan di dalam fikiran kita. Ini kerana eksistensi Zat yg Maha Agung itu tidak tertakluk dan dibatasi oleh masa, ruang serta apa-apa bentuk dan unsur jirim (time, space and matter) sehingga tidak ada bahasa yg mampu mewadahi (accommodate) dan menjelaskan tentang keadaan dan sifat-sifat ZatNya yang sebenar.

Kerana itu, meskipun Allah memperkenalkan diriNya kpd kita melalui al-Qur'an, keadaan ini masih tidak mampu menterjemah makna sebenar yg terkandung dalam kehendakNya itu. Makna yang lebih tinggi hanya mampu kita rasakan ketika melaksanakannya dalam kehidupan seharian secara praktikal.

Membaca al-Qur'an yakni ayat-ayat Qauliyah Allah, hanya membolehkan manusia sekadar menyerap kefahaman dengan penggunaan bahasa, melalui fikiran, mata dan telinga. Sedangkan mengamalkannya dalam kehidupan seharian pula melibatkan proses menyerap makna dengan menggunakan seluruh potensi kemanusiaan secara utuh (intact) dan holistik.

Makna adalah makna. Dan bahasa pula hanyalah sekadar sebuah medium utk menyampaikan makna. Kerana itu, ungkapan-ungkapan di dalam apa jua bahasa sekalipun tidak bersifat mutlak dan tidak mampu mewadahi makna yang sesungguhnya.

Disebabkan ini, kita akan baru berupaya mengenal Allah dengan lebih baik melalui amalan-amalan praktikal, dan bukan sekadar melalui bahasa dan teori sahaja. Terutamanya melalui amalan-amalan yang melibatkan kerahan seluruh kekuatan akal fikiran ketika mengkaji ayat-ayat Kauniyah Allah yang tersebar luas diseluruh pelusuk alam semesta ini.

Ini dinyatakan sendiri oleh Allah melalui firman-firmanNya seperti berikut :

"Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (jelas yang mempamirkan kewujudan dan keagungan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (begitu juga tanda-tanda yang ada) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan (serta mengkaji semua ini)?"
[Adz-Dzariyaat (51) : 20-21].

"Maka apakah mereka tidak memperhatikan (dan mengkaji) unta, bagaimana ia diciptakan? Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan (yang semuanya ini telah dijadikan sebagai sebahagian dari tanda-tanda nyata oleh Allah dalam mempamirkan keagunganNya?)"
[Al-Ghasyiyah (88) : 17-20]

“Sesungguhnya yang gentar serta tunduk kepada Allah (dan yang mampu mengkagumi keagunganNya) hanyalah mereka di kalangan hamba-hambaNya yang mempunyai ilmu sahaja.” [Fathir (35) : 28]
                     
Lalu mengapakah kita sudah rasa cukup berpuas hati apabila membatasi interaksi kita dengan al-Qur'an dengan menggunakannya sebagai alat sekadar untuk merasai dan mencapai kepuasan spiritual sahaja? Mengapa kita tidak bersungguh-sungguh juga menggunakan al-Qur’an sebagai alat bagi mencetus keterujaan minda untuk memacu seluruh daya dan potensi intelek kita ke hadapan sehingga mampu memainkan peranan cemerlang sebagai khalifah Allah di atas mukabumi yang diamanahkan olehNya kepada kita mengikut kadar usia yang telah diperuntukkan kepada kita masing-masing? 

Bukankah peranan khalifah Allah itu merupakan tujuan penciptaan kita sebagai al-Insaan yang dianugerahkan keistimewaan akal yang tidak terdapat pada makhluk-makhluk lain? Dan bukankah matlamat pengabdian diri kepada Allah dalam ertikatanya yang sebenar hanya dapat ditunaikan apabila kita mampu memainkan peranan untuk memakmurkan mukabumi ini sebagai khalifahNya yang cemerlang? Lalu adakah ini dapat dilakukan jika kita lebih berminat melayani kehendak spiritual diri sahaja tanpa penguasaan ke atas ilmu-ilmu duniawi yang melibatkan kefahaman yang mendalam terhadap Sunatullah, yakni hukum operasi dan perjalanan alam yang dinamakan sebagai Ilmu Sains dalam istilah moden?

Al-Qur'an adalah petunjuk dan pembimbing yang paling sempura bagi manusia yang bergelar Muslim untuk mengambilnya secara total sebagai panduan hidup. Maka kehebatan mukjizat al-Qur'an yang tiada tandingan itu tidak wajar dibatasi penggunaan dan pembacaannya hanya bagi mengubati kegersangan spiritual sahaja, lebih-lebih lagi ketika diri sedang dirundung masalah dan kesedihan. Sepatutnya, al-Qur'an hendaklah bersungguh-sungguh digunakan pada masa yang sama sebagai pemangkin keupayaan intelek bagi mencari penyelesaian-penyelesaian serta solusi-solusi yang dapat menyumbang kepada  peningkatan mutu kehidupan masyarakat menerusi kajian yang mendalam dalam bidang sains serta aplikasinya. Bukankah kesemua ilmu-ilmu yang diperlukan untuk tujuan ini dicipta oleh Allah dan terangkum dalam ilmuNya yang Maha Luas tanpa bertebing itu?

Tidak mungkin kita dapat merasakan keagungan Allah tanpa mengkaji tanda-tanda KauniyahNya melalui usaha-usaha praktikal yang tekun dan gigih kerana Allah sendiri yang telah menetapkan cara yang demikian untuk mengenaliNya. Lebih malang lagi apabila kefahaman kita yang tersasar dalam hal ini telah dimenafaatkan sepenuhnya oleh orang-orang yang tidak bertauhidkan kepada Allah dan berimamkan kepada RasulNya. Amat ironis sekali apabila mereka pula yang melaksanakan perintah agama yang amat penting dan paling mendasar ini sementara umat Islam masih gagal menyahutnya.

Maka bolehkah kita berkata bahawa kita sudah mengenali Pencipta kita dalam ertikata yang sebenar jika kita tidak berminat menguasai ilmu yang diperlukan untuk mengkaji ayat-ayat KauniyahNya? Lalu bagaimanakah kedudukan kita di akhirat kelak jika kita dijemput kembali kepada Pencipta kita dalam keadaan kita masih tidak mengenaliNya dalam ertikata yang  sebenar?


Nota sampingan :

Ayat Qauliyah
Ayat-ayat Qauliyah ialah ayat-ayat yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Qur’an dalam bentuk teks yang boleh dibaca dan/atau dihafal.

Ayat Kauniyah
Ayat-ayat Kauniah adalah tanda-tanda ciptaan yang dizahirkan oleh Allah dalam bentuk benda, kejadian, fenomena, peristiwa dan sebagainya yang tersebar luas di seluruh alam. Oleh kerana alam ini hanya mampu dicipta dan ditadbir oleh Allah melalui segala sistem, peraturan serta hukum-alam Nya yang unik, maka ia menjadi tanda kehebatan dan keagungan Allah selaku Penciptanya.


Comments

Popular posts from this blog

Ramadan Mubarak 2018 (Siri ke-6) : Amaran keras dari Allah dan RasulNya supaya jangan cenderung kepada orang zalim yang akan muflis di akhirat nanti.

Persamaan sebahagian besar umat Islam dengan penganut agama Kristian

Penghina Agama