Benarkah Adam dicipta di Syurga? Satu perspektif baru..

Selama ini, syurga digambarkan terletak di suatu alam ghaib di langit, di sebuah “negeri atas awan” yang tidak ada penjelasannya. Ia seiring dengan alam “dewa dewi” dalam cerita2 klasik yang diadaptasi dari agama di luar Islam. Sebenarnya, konsep seperti ini bukan konsep Islam.

Di dalam Islam dan al-Qur’an, Allah menyatakan diriNya sbg Dzat Maha Besar yang tidak menempati ruang. Sebaliknya Allah yang meliputi ruang, tidak kira sebesar mana ia sekalipun, termasuk ruang  alam semesta yang tidak diketahui tepiannya sehingga kini. Seterusnya, Allah adalah Dzat yang digambarkan dalam Qur’an sebagai “sangat dekat” dgn kita. Bahkan lebih dekat dari urat leher kita sendiri.

“Dan demi sesungguhnya, Kami jualah yang telah mencipta manusia dan sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Dan Kami sebenarnya lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.
[Qaaf (50) : 16]

Maka di dalam Qur’an telah dinyatakan dengan jelas bahawa Allah sebenarnya berada di mana2 jua menurut sifat ketunggalanNya yang tidak sama dengan apa2 sekalipun, dan hakikat ini tidak mampu digambarkan oleh akal kita. Ini boleh dilihat dari ayat al-Qur’an berikut yang menyebut bahawa ke mana saja kita menghadap, kita akan berhadapan dgn wajah Allah.

"Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu menghadap, maka di sanalah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.:
[Al-Baqarah (2) : 115]

Salah faham agama Pagan dan Nasrani sebenarnya telah melekat dalam kefahaman umat Islam. Konsep paganisma mempercayai bahawa syurga ialah sebuah istana indah di langit yang jauh dari bumi. Nasrani pula berpendapat Tuhan berada di syurga. Lalu umat Islam pun mempercayai bahawa “pertemuan” dengan Allah hanya boleh berlaku di syurga. Selama masih di bumi, pertemuan ini tidak akan sekali-kali berlaku.

Tetapi pada hakikatnya, tidak ada satu ayat pun di dalam al-Qur’an yang menyatakan bahawa Allah berada di syurga kerana syurga adalah makhlukNya yang mempunyai ruang, sementara Allah tidak boleh berada dalam apa2 ruang kerana Dia lebih “besar” dan agung dari mana2 ruang.

Cerita2 mengenai Allah berada di dalam syurga hanya akan ditemui dalam beberapa hadis yang perlu diteliti dengan lebih mendalam tentang konteks maksudnya yang sebenar kerana al-Qur’an dengan jelas menyatakan bahawa ke mana2 saja kita menghadap, kita akan “bertemu” wajah Allah. Maka adakah yang dimaksudkan dengan bertemu wajah Allah ini berlaku secara fizikal? Sudah tentu tidak! Sebaliknya, pertemuan yang dimaksudkan ini adalah dalam konteks spiritual.

Di dalam solat bertemu Allah. Di dalam zikir bertemu Allah. Ketika berpuasa bertemu Allah. Waktu mengerjakan haji bertemu Allah. Ketika membantu orang susah, bertemu Allah. Ketika berjihad bertemu Allah. Pendekata, dalam segala amal soleh kita yang ikhlas dilakukan kerana Allah dengan mengikut cara yang diajar oleh al-Qur’an dan seperti yang disampaikan oleh Nabi  kpd kita, kita akan dapat “bertemu” dengan Allah.

Kesalahan dalam memahami konsep syurga dan di manakah keberadaan Allah menyebabkan kita juga tersasar dalam memahami di mana Adam dan Hawa pernah ditempatkan. Apatah lagi apabila perkataan syurga itu di ambil dari perkataan Sanskrit dalam konteks agama Hindu berbunyi Swarga Loka yang merujuk kepada sebuah stesen para dewa dewi di langit. Sedangkan di dalam al-Qur’an, perkataan yang digunakan ialah Jannah yang bermaksud taman atau kebun indah di bumi.

Swarga Loka mengarah kpd kefahaman yang bersifat fantasi dan jauh, sementara Jannah lebih bersifat realistik dan dekat.

Penggunaan kata Jannah atau taman/kebun yang indah ini terkait rapat dgn tempat turunnya agama Islam di kawasan padang pasir - sebuah kawasan yg kering kontang dan berbatu batan keras, jauh dari rasa indah. Maka Allah memperkenalkan konsep “balasan baik” yakni hadiah kebaikan dgn simbol taman yang indah di mana kita akan rasa kesejukan, kesegaran, sumber mata air, makanan dan buah2an yang sangat melimpah dan berbagai jenis kenikmatan fizikal. Sekaligus sebagai gambaran kenikmatan yang bersifat kejiwaan.

“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa, sedangkan kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.” 
[Ar-Ra’d (13) : 35]

“Perumpamaan syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak)!
[Muhammad (47) : 15]

Penggunaan kata “taman yang indah” sebagai bentuk balasan kebaikan itu sesungguhnya bersifat perumpamaan, dan bukan makna sebenarnya. Ia menggambarkan perasaan bahagia seseorang manusia yang hidupnya dlm lingkungan dan perskitaran padang pasir tiba2 bertemu dengan taman dan mata air. Pasti ia adalah satu kurnia yang luar biasa nikmatnya!

Maka istilah Jannah memiliki makna yg menggambarkan suasana batin kita pada ketika memperoleh sesuatu yang membahagiakan bagaikan org yang berada di padang pasir yang panas dan tandus tiba2 bertemu dan memasuki taman yang segar dan indah. Mereka digambarkan sebagai orang yang tidak mempunyai rasa khuatir, bimbang, sedih, gelisah, takut benci, dendam, marah dan berbagai2 lagi perasaan yang berkaitan dengan penderitaan dan kesengsaraan.

Yang ada ialah hanya rasa tenteram, kasih sayang, saling menghargai dan mencintai sesama penduduk di syurga itu, iaitu rasa syukur yang mendalam dan berbagai perasaan yang membawa kita kepada suasana bahagia. Kombinasi antara perasaan dan suasana persekitaran seperti inilah yang membawa kita kepada kebahagian syurgawi.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman". Dan Kami cabut segala perasaan hasad dengki dihati mereka sedang mereka merasa bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.  Mereka tidak akan disentuh susah payah di dalamnya dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya. Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh)."
[Al-Hijr (15) : 45-49]

Inilah gambaran syurga dalam Qur’an. Lalu bagaimana kita membayangkan keadaan syurga pada zaman Adam pula? Apa bezanya dengan syurga di akhirat kelak?

Sebenarnya, al-Qur’an menggunakan perkataan Jannah dlm dua hal yang hampir sama tetapi dalam keadaan dan situasi yang berlainan. Yang pertama ialah pada waktu penciptaan Adam, dan yang kedua pula ialah bagi menggambarkan situasi di akhirat utk orang2 yang bakal mendapat balasan kebaikan dari Allah kelak.

Syurga untuk pengertian kedua adalah mengenai sebuah taman indah di mukabumi tetapi di fasa akhirat. Hakikat yang memberi gambaran bahawa taman ini berada di bumi ialah seperti di ayat berikut ketika orang2 yg ditempatkan di dalamnya akan merasakan bahawa keadaan tersebut seolah2 sesuatu yang familiar.

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh taman/kebun yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Setiap kali mereka diberikan pemberian buah-buahan dari taman/kebun itu, mereka berkata: "Ini seperti yang pernah diberikan kepada kami dahulu!" Mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya, dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
[Al-Baqarah (2) : 25]

Pada waktu itu, seluruh dimensi langit yang tujuh akan dibuka oleh Allah sehingga orang2 yang ditempatkan di taman2 indah tersebut akan merasakan kualiti keindahan dan kehebatannya berlipat ganda kesempurnaaannya, sehingga hakikat ini tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun dalam ukuran duniawi pada waktu ini.

“Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui (dan dapat  membayangkan) apa yang dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.
[As-Sajdah (32) : 19]

Maka demikianlah pengertian yang boleh disimpulkan mengenai maksud syurga yang kedua di fasa akhirat kelak. Manakala pengertian mengenai maksud syurga yang pertama tadi di mana Adam dan Hawa ditempatkan pula adalah sebuah taman indah di bumi ketika di fasa dunia dan ini boleh diukur dengan ukuran duniawi.

Jadi, kedua-duanya adalah sama2 taman yang indah yang sama2 berada di bumi. Yang membezakannya adalah pada fasanya sahaja. Yang pertama merujuk di fasa dunia, sementara yg kedua merujuk di fasa akhirat.

Pemahaman kita selama ini ialah Adam telah diciptakan di syurga dan diperintahkan supaya tinggal dalam syurga tersebut sehingga dewasa. Tetapi tidak ada satu pun ayat dalam al-Qur’an yg menyatakan demikian. Bahkan ayat2 al-Qur’an tentang syurga yang terkait dengan Adam tidak ada satu pun yang menyentuh tentang saat penciptaannya di situ, kecuali ia adalah berkaitan dengan keadaan di mana setelah Adam dicipta, malah ketika ia sudah dewasa dan bersama isterinya.

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam taman ini, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". 
[Al-Baqarah (2) : 35]

Maka, Kami berfirman: "Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu. Oleh itu, janganlah sekali-kali ia menyebabkan kamu berdua keluar dari taman ini yang akan menyebabkan engkau (dan isterimu) menderita.
[Thahaa (20) :117]

Adalah terlalu spekulatif jika kita berkata bahawa Adam dan Hawa telah dicipta oleh Allah di syurga tersebut. Apatah lagi jika kita punyai gambaran bahawa syurga itu adalah sebuah tempat yang berada di luar angkasa jauh dari bumi bagaikan negeri dewa-dewi.

Sebaliknya, maklumat yang lebih jelas dan boleh dipertanggung-jawabkan kemungkinan kebenarannya ialah bahawa Adam dan Hawa telah dicipta dibumi. Dan setelah mereka lahir ke dunia, Allah tempatkan mereka di sebuah taman yg indah, subur dan makmur di bumi, iaitu dalam Jannah mengikut pengertiannya yang sebenar.

“Dan Dia jualah yang menciptakan serta mengembang-biakkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.”
[Al-Mu’minuun (23) : 79]

Comments

Popular posts from this blog

Ramadan Mubarak 2018 (Siri ke-6) : Amaran keras dari Allah dan RasulNya supaya jangan cenderung kepada orang zalim yang akan muflis di akhirat nanti.

Persamaan sebahagian besar umat Islam dengan penganut agama Kristian

Penghina Agama