Allah : “Aku” atau “Kami”?
Secara
dasarnya, kita perlu fahami bahawa Zat Allah meliputi segala sesuatu, iaitu ia
tidak berada dalam ruang, tidak terpisah-pisah dan tidak terdiri dari cantuman
atau kombinasi apa-apa unsur berlainan. Allah bersifat Maha Tunggal dan Maha
Esa dalam suatu skala yg tidak mampu dibayangkan oleh akal dan fikiran kita.
Maka
Allah menggunakan gantinama diri “Aku” bagi mewakili Zat-Nya yang
bersifat tunggal dan esa itu, sementara gantinama diri “Kami” pula digunakan
bagi mewakili Zat-Nya yang tidak terhingga keagungannya meliputi segala-gala di seluruh alam semesta dan dimensi. Sesuai dengan hakikat ini, maka Allah
memberitahu kita bahawa Dia amat dekat dengan kita, lantaran ke mana saja kita
menghadap, kita akan berhadapan dengan wajahNya seperti yang dinyatakan dengan
jelas dalam ayat-ayat berikut.
“Dan apabila hamba-hambaKu
bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah) bahawa sesungguhnya Aku dekat.."
[Al-Baqarah
(2) : 186]
“Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat. Oleh itu, ke mana sahaja kamu menghadap, maka di sanalah wajah Allah.. ”
[Al-Baqarah
(2) : 115]
Contoh-contoh
penggunaan gantinama
diri “Aku”
1.
Berikut adalah salah satu contoh ayat di mana Allah menggunakan gantinama diriNya
sebagai “Aku” untuk menegaskan
keesaanNya :
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku.
Oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu.
[Thahaa (20) :14]
2.
Contoh ayat berikut pula menunjukkan kuasa Allah sebagai pencipta manusia dan sumber kehidupan melalui tiupan ruhNya kepada manusia.
"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku
tiupkan padanya ruhKu. Maka hendaklah kamu sujud kepadanya (sebagai
tanda penghormatan terhadap ciptaan Aku yang sempurna ini).
[Al-Hijr (15) : 29]
3.
Dan di ayat-ayat berikut pula, Allah menegaskan sifat kehendak dan kekuasaan
mutlakNya, serta sifat Maha MengetahuiNya terhadap segala-gala :
a) “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka
(jawablah) bahawa sesungguhnya Aku dekat, dan Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.
Maka hendaklah mereka menyahut (segala perintah) Ku, dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.”
[Al-Baqarah (2) : 186]
b) “Wahai Adam, beritahulah nama benda-benda ini kepada mereka". Maka
setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah
berfirman: "Bukankah telah Aku katakan kepada kamu,
bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku
mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?"
[Al-Baqarah (2) : 33]
Maka adalah jelas bahawa penggu-naan gantinama
diri “Aku” dilakukan apabila Allah ingin menunjukkan
kehendakNya yang tidak terbatas dan kekuasaan mutlakNya ke atas segala-gala,
serta kehebatan sifat-sifatNya yang tidak tertanding oleh apa-apa sekalipun.
Dengan bahasa mudah, hanya Allah sahaja yang layak mempamirkan “ego”Nya dan ini
dilakukan dengan membahasakan diriNya dengan menggunakan gantinama “Aku” dengan penuh ketegasan.
Contoh-contoh
penggunaan gantinama
diri “Kami”
1.
Sementara itu, gantinama diri “Kami” pula digunakan bagi menggambarkan
penglibatan berbagai pihak lain dalam perlaksanaan “operasi” Allah. Ini bertujuan
untuk membuat kita sedar dan faham bahawa dalam sekian banyak keadaan,
walaupun pada hakikatnya segala-gala yang di alam semesta ini adalah bersumber
dari Allah, ia juga melibatkan peranan pihak-pihak lain dalam proses berlakunya
kejadian tersebut. Contohnya ialah seperti dalam urusan rezeki, penciptaan
manusia dalam rahim, kedatangan bencana, dan lain-lain lagi.
“(Orang-orang
yang bertaqwa itu) ialah orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang
ghaib, dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
[Al-Baqarah (2) : 3]
Cuba kita fikir sejenak. Bukankah Allah memberikan rezeki kepada kita
melalui perantaraan orang lain seperti majikan atau dari perniagaan yang
melibatkan urusan jualbeli di antara kita dan pihak lain? Dan bukankah rezeki
juga boleh dikurniakan kepada kita melalui makhluk-makhluk lain seperti
tanam-tanaman atau haiwan ternakan yang kita usahakan?
2. Bahkan dalam urusan wahyu pun Allah menggunakan gantinama
diri “Kami” kerana proses ini berlaku dengan perantaraan Jibril.
“Dan
jika kamu tetap dalam keraguan tentang Al-Quran
yang Kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah
buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan
ajaklah penolong-penolong selain Allah (untuk membantumu), jika kamu adalah
orang-orang yang benar.”
[Al-Baqarah (2) : 23]
3.
Seterusnya, dalam urusan penciptaan manusia pun Allah menggunakan gantinama
diriNya sebagai “Kami” kerana proses ini berlaku melalui percampuran
ibubapa.
“Wahai
umat manusia, sekiranya kamu meragui tentang kebangkitan (pada hari kiamat
kelak), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian
dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan
kejadiannya dan ada juga yang tidak disempurnakan. (Kami jadikan demikian)
kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (tentang kekuasaan Kami). Dan Kami
telah menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami
rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan waktu kelahirannya. Kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak, lalu (kamu dipelihara) hingga ke peringkat umur
dewasa. Dan ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa)
dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia
tidak mengetahui lagi tentang sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan kamu
(lihatlah juga pada satu bukti lagi) di mana bumi sedang dalam keadaan kering.
Kemudian apabila Kami
menurunkan air (hujan) menimpanya, maka hidup dan
bergeraklah tanahnya menjadi subur menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang
indah.”
Kesimpulan
Jelas
di sini bahawa penggunaan gantinama diri “Aku” dan “Kami” oleh Allah di dalam
al-Qur’an dilakukan secara sistematik dan terancang dengan sempurna, dan
bukannya secara rambang tanpa tujuan. Hakikat bahawa penggunaan ini dilakukan
secara konsisten dan bersistematik membuktikan kepada kita tentang betapa hebat
dan agungnya i’jaz al-Qu’ran, yakni keunikannya sebagai suatu mukjizat yang
tidak tertanding, dan mustahilnya ia dikarang oleh mana-mana manusia atau
makhluk. Selanjutnya, tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa penggunaan
gantinama “Kami” di dalam al-Qur’an menggambarkan bilangan Allah melebihi dari
satu serta tidak bersifat tunggal dan esa hanyalah kenyataan-kenyataan jahil
oleh pihak-pihak yang tidak mengenali al-Qur’an dengan mendalam. Maha Suci
Allah dari dipersekutukan dan dari apa-apa kekurangan serta ketidak-sempurnaan!
Comments
Post a Comment